22 Aug 2016

Mengapa Hilang Bahagia?




Kadang-kadang kita hairan, ada orang yang bercita-cita hendak menjadi kaya, tetapi   setelah menjadi jutawan tak rasa bahagia. Sesetengah itu inginkan isteri yang cantik, apabila dah dapat, tak rasa keindahan hidup atau tak rasa bahagia. Ada yang bercita-cita hendak menjadi artis glamour, apabila dah tercapai, hati diserang resah gelisah, maknanya tidak bahagia juga.

Rasa gelisah, tidak tenteram, tidak rasa indah apabila datang menyerang jiwa, hidup akan rasa sempit dan tidak bermaya. Kenapakah ini boleh berlaku?

Sebenarnya di sini Allah Subhanahu wa Ta’ala ingin mengetuk hati kita, seolah-olah Allah hendak beritahu kita begini:

Aku telah kurniakan kamu nikmat yang banyak, tetapi kenapa kamu tidak bersyukur dengan nikmat itu? Kenapa setelah dapat nikmat, tidak ingat pada-Ku?

Sebab itu kita tidak tenteram. Kita telah terlupa pada peringatan Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti di dalam firman-Nya:

“Barangsiapa yang berpaling daripada mengingati Aku, maka Aku akan untukan baginya kehidupan yang sempit.” [Thoha: 124]

Maksud sempit di sini ialah hati senantiasa kusut, tersendat walaupun pada zahirnya hidupnya lapang. Oleh itu kalau hati kita rasa begitu, nilai semula hubungan kita dengan Allah, adakah kita ingatkan-Nya hanya di waktu susah saja? Kalau begitu, sungguh tidak beradablah kita. Bukankah lebih bagus mengingati-Nya ketika senang kerana di waktu susah memang kita ingat Allah?

Katakanlah kita sakit. Kalau kita faham, “Begini Allah taqdirkan aku supaya aku kembali ingat pada-Nya. Lagipun siapa lagi hendak mengingatkan aku, kalau tidak dengan taqdir Allah. Dengan sakit ini Allah ingin hapuskan dosa-dosaku. Inilah kasih sayang Allah.”

Kalaulah begini hati kita, tidak ingin kita membesar-besarkan kesusahan yang Allah taqdirkan kepada kita. Tidak kita canangkan pada orang lain dengan membesarkan rasa sakit itu, sakit ini. Kita bersyukur malah terhibur senantiasa kerana di samping Allah beri peringatan, Allah beri pahala pula jika kita bersabar.

Sebenarnya andai kita canang dan membesar-besarkan sakit itu, kita telah dua kali sakit; sakit badan dan sakit hati. Sakit hati ini lebih teruk dari sakit badan. Hubungan dengan Allah tidak selesai. Begitu juga dengan manusia.

Katakanlah kita menjadi pegawai tadbir. Tetapi hati kita masih tidak bahagia kerana kerenah anak-anak buah yang tidak ikut cakap. Seandainya dia bersangka baik dengan Allah, kita akan berkata begini:

“Kerja mentadbir orang ini susah, apalagi kalau ramai. Tetapi hati mereka Allah yang pegang. Kalau diriku sendiri tidak dapat ditadbir, bagaimana ingin mentadbir orang lain. Sedangkan hati mereka Allah yang pegang dan Allah sahaja yang boleh mencantumkan hati-hati semua. Mungkin aku tidak menjaga hati mereka, kebajikan mereka dan maruah mereka sebagai anak-anak buah.”

Apabila datang rasa begini, bebaslah kita dari bersangka buruk dan risau, sebaliknya kita rasa cemas kalau kalau kita telah berlaku cuai terhadap tanggungjawab kita pada anak buah. Hakikatnya Allah yang beri kita kerja, cuma adakah kita telah menjalankan tanggungjawab mengikut kehendak Allah sebenar-benarnya?

Katakanlah setelah menjalankan tugas itu, kita dibuang kerja kerana dianggap kurang cekap, pandangilah ujian kesusahan itu ada hikmah di sisi Allah.

“Oh, rupa-rupanya Allah hendak hukum cara ini atas kesalahan aku. Kalau dihukum di sini, tidaklah berat sangat kalau dibandingkan dengan hukuman di Akhirat (Neraka).”

Jika begini nilaian kita, terhiburlah hati. Bahagialah untuk kita (bukannya terlalu bersedih) kerana ujian sakit, dibuang kerja adalah termasuk hukuman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang tidak akan dihukum lagi di Akhirat kelak. Begitulah kita kiaskan pada perkara-perkara musibah yang lainnya.

Satu pengorbanan yang susah orang hendak buat ialah korban perasaan. Tetapi sekiranya dapat bersabar dalam menanggung perasaan ini ketika ditimpa ujian, akan dijamin pahala tanpa dihisab. Firman Allah:

“Sesungguhnya ganjaran untuk orang yang sabar ialah tanpa hisab.” (Az Zumair: 10)

Kalau kita faham tentang ini tidak menjadi masalah kalau ditimpa ujian. Hati kita terus terhibur dan bersyukur bahkan masih boleh senyum dalam ujian.


16 Aug 2016

Kisah Sedih Seorang Ibu





Cerita ni dalam bentuk luahan hati seorang anak yang kesedihan akibat kelalaian atau dengan kata lain kederhakaannya kepada seorang ibu!
Cerita si anak.....

Ibuku buta sebelah mata!
Aku benci ibuku… Dia amat memalukanku!
Tugas harian dia ialah memasak untuk pelajar dan guru untuk menyara keluarga kami.

Pada suatu hari semasa di sekolah rendah, ibuku datang ke sekolah untuk bertanya khabar.
Aku sungguh malu. Mengapa dia sanggup melakukan ini kepadaku?!
Aku tidak pedulikan dia dengan menunjukkan wajah benci kepadanya dan terus lari.

Keesokan harinya salah seorang rakan darjah berkata, “EEEE, ibumu hanya ada satu mata!"
Ketika itu aku hanya ingin membenamkan diriku. Aku juga mahu ibuku hilang dari hidupku!
Oleh itu aku berjumpa dengannya dan berkata, “Jika engkau hanya mahu menjadikan diriku bahan ketawa, alangkah baiknya kalau kau mati saja?!!!”

Ibuku hanya berdiam diri!!!

Aku tidak pun sejenak berhenti dan berfikir akan apa yang telah aku katakan kepadanya kerana aku tengah marah ketika itu..
Aku langsung tidak peduli akan perasaannya…

Aku ingin keluar dari rumah itu…
Oleh itu aku belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya dapat melanjutkan pelajaran ke Singapura.
Kemudian aku berkahwin. Aku membeli rumah sendiri dan mendapat anak. Aku amat gembira dengan kehidupanku.

Suatu hari ibuku datang menziarahiku. Sudah lama dia tidak berjumpa denganku dan tidak pernah berjumpa cucunya!.
Bila dia berdiri di depan pintu rumahku, anakku mentertawakannya...
Aku menjerit kepadanya, “Sanggup engkau datang ke sini dan menakutkan anakku!"KELUAR DARI SINI SEKARANG!!!
Dengan pantas ibuku menjawab “Maaf, Saya tersilap alamat” dan terus menghilangkan diri.

Satu hari surat jemputan untuk perjumpaan pelajar-pelajar lama sampai ke rumahku..
Oleh itu aku telah memberitahu isteriku yang aku akan pergi untuk urusan perniagaan…

Selepas perjumpaan itu, aku telah pergi ke rumah usang ibuku hanya untuk ingin tahu!!!.
Jiran memberitahuku yang ibuku telah meninggal…
Aku tidak menitiskansetitik airmata pun!!

Jiran itu telah menyerahkan kepadaku sepucuk surat yang ibuku ingin aku membacanya…
“Anakku yang dikasihi, Ibu selalu teringatkan kamu setiap masa…
Ibu minta maaf kerana datang ke Singapura dan telah menakutkan anakmu.
Ibu gembira kerana kamu akan datang
ke perjumpaan pelajar-pelajar lama…
Tetapi ibu mungkin tidak dapat bangun
untuk berjumpa denganmu.
Ibu minta maaf kerana sentiasa memalukan kamu
semasa kamu sedang membesar.

Kamu mungkin tidak tahu…. Semasa kamu masih kecil, kamu telah mendapat kemalangan dan hilang satu mata........
Sebagai ibu, aku tidak sanggup melihat anaknya membesar dengan satu mata...
Oleh itu… Aku memberi salah satu mataku kepada kamu…
Aku amat berbangga kerana anak lelakiku dapat melihat dunia ini dengan mata ibumu ini…

…Dengan kasihku kepadamu…
…IBUMU…

Sabda Rasullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Dia memberitahu kamu supaya taat kepada Allah dan RasulNya sentiasa. Selepas itu taatlah kepada ibumu kemudian ibumu kemudian ibumu kemudian ayahmu!

10 Aug 2016

Koleksi 30 Minit Ustaz Don




30 Minit Ustaz Don merupakan sebuah program kuliah interaktif dengan tagline Menelusuri Hidup. Rancangan yang bermula pada tahun 2011 ini telah masuk ke tahun kelima siarannya di TV Alhijrah. Rancangan yang mengupas pelbagai topik termasuk fiqh dan tajwid kini telah ditambahbaik dengan bantuan jurubahasa isyarat agar pengisiannya juga dapat dikongsikan dengan golongan kurang upaya pendengaran . Rancangan ini dirakamkan di studio TV Alhijrah dan bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Rabu jam 9.30 malam.

Di dalam koleksi 30 Minit Ustaz Don Tajwid , beberapa episod rancangan ini telah membincangkan ilmu berkenaan tajwid di dalam bacaan Al-Quran. Kesalahan-kesalahan ketika membaca Al-Quran telah dikongsikan untuk panduan penonton. Ilmu tajwid asas seperti makhraj huruf, hukum Izhar, Iqlab, Idgham dan Ikhfak telah dibincangkan secara terperinci di dalam episod yang berasingan. Selain itu, 30 Minit Ustaz Don juga turut membincangkan hukum mad seperti mad lazim, mad silah, mad wajib, mad jais, mad lin, mad iwad, mad badal, mad asli, naqal dan sebagainya.

Di dalam koleksi 30 Minit Ustaz Don Solat , pelbagai topik berkenaan solat telah dibincangan secara terperinci di dalam episod berbeza. Di antaranya :

-Permasalahan imam dan makmum
-Syarat sah solat
-Sunat dalam solat
-Makruh dalam solat
-Jemaah dalam sembahyang
-Pengertian solat
-Rukun solat – niat
-Rukun solat – berdiri tegak
-Rukun solat – takbiratul ihram
-Rukun solat – sujud
-Rukun solat – duduk tahiyat akhir
-Rukun solat – selawat dan memberi salam
-Rukun solat – tertib
-Rukun solat – sunat Ab’adh
-Amalan sunat selesai solat
-Adab-adab musafir
-Solat gerhana bulan dan matahari
-Solat Jamak
-Solat Qasar

Koleksi 30 Minit Ustaz Don Haji pula membimbing penonton berkenaan :
-Ihram
-Tahalul
-Tawaf
-Perjalanan ke tanah suci
-Aidil adha

Koleksi Kembara Tabung Haji Travel Bersama Ustaz Don membawa penonton berkongsi pengalaman umrah Ustaz Don bersama-sama Tabung Haji Travel. Penonton dapat melihat dengan lebih jelas berkenaan :

-Persiapan umrah
-Penerbangan
-Tawaf
-Tahalul
-Ziarah Masjid Nabawi
-Raudhah
-Ziarah Masjid Quba’

Banyak lagi topik-topik menarik yang dikupas di dalam rancangan 30 Minit Ustaz Don ini.

button 30MUD 2016button 30MUD 2014button 30MUD 2013button 30MUD 2012button 30MUD 2011


30 MINIT USTAZ DON EKSKLUSIF
kembara ustaz donTAJWID 2013solat 2013HAJI 2013solat 2012TAJWID 2012

Sumber : http://alhijrahmedia.com/

27 Jul 2016

Rahsia Di Sebalik Surah Al-Baqarah




Sebagaimana yang diketahui bahawa al-Quran mempunyai sebanyak 30 juzuk, 114 surah dan 6236 ayat. Di antara surah-surah di dalam al-Quran, terdapat satu surah yang paling panjang iaitu Surah al-Baqarah. Sebagai umat Islam, kita wajar menyelami rahsia di sebalik setiap surah dalam al-Quran bagi menghayati isi kandungannya dengan lebih mendalam. Apatah lagi Surah al-Baqarah merupakah surah yang terpanjang di dalam al-Quran, maka setiap individu muslim hendaklah berusaha untuk menyelami rahsia di sebalik isi kandungan surah ini.

Surah al-Baqarah ialah surah kedua dalam al-Quran al-Karim selepas surah al-Fatihah dan ia datang sebelum surah Ali Imran. Ia mempunyai sebanyak 286 ayat yang kebanyakannya diturunkan di Madinah. Sebahagian besar ayat dalam surah al-Baqarah diwahyukan pada permulaan Hijrah. Mengikut pandangan majoriti ulama’ ayat 281 Surah al-Baqarah merupakan ayat yang terakhir diturunkan oleh Allah bukannya ayat 3 surah al-Ma’idah sebagaimana yang masyhur dalam kalangan masyarakat (Sila rujuk kitab ’Ulum al-Qur’an oleh Manna’ Khattan dan Subhi Soleh & Tafsir al-Maraghiy 1/39). Surah ini merupakan surah yang terpanjang di antara surah-surah dalam al-Quran al-Karim, malah ayat yang terpanjang juga terdapat di dalam surah ini iaitu ayat 282 yang menceritakan perihal tentang hutang.

Surah ini dinamakan surah al-Baqarah yang membawa maksud sapi betina (lembu betina) kerana di dalamnya telah disebutkan kisah penyembelihan sapi betina yang diperintahkan Allah s.w.t kepada Bani Israel. Kisah ini bermula daripada ayat 67 sehingga ayat 74. Muhammad ‘Ali al-Sabuniy dalam kitab tafsirnya yang terkenal iaitu ‘Safwah al-Tafasir’ telah menjelaskan bahawa tujuan surah ini dinamakan sebagai al- Baqarah ( sapi betina ) adalah bertujuan untuk mengingatkan kembali mukjizat yang telah berlaku pada zaman Nabi Musa a.s.

Pada zaman Nabi Musa as, terdapat seorang lelaki dalam kalangan Bani Israel yang telah dibunuh, tetapi pembunuhnya tidak diketahui. Apabila mereka mengadu tentang pembunuhan ini kepada Nabi Musa a.s., Allah s.w.t telah mewahyukan kepada Baginda supaya menyuruh mereka (Bani Israel) untuk menyembelih seekor sapi betina, kemudian memukul mayat dengan sebahagian anggota sapi tersebut. Dengan izin Allah, mayat yang mati dibunuh itu dapat hidup semula dan memberitahu mereka siapakah pembunuhnya. Mukjizat ini membuktikan betapa Allah s.w.t berkuasa menghidupkan semula makhluk walaupun sesudah mati.

Ketika Bani Israel diperintahkan untuk menyembelih sapi betina itu, al-Quran telah merakamkan bagaimana kedegilan golongan Bani Israel yang tidak mahu melaksanakan perintah Allah tersebut dengan mencari pelbagai alasan dan hujah. Namun, akhirnya mereka terpaksa juga melakukannya kerana tiada lagi hujah dan tipu daya yang dapat mereka bentangkan kepada nabi Musa. Inilah sikap Bani Israel (Yahudi) sehingga ke hari ini. Mereka secara terang dan jelas menceroboh wilayah Palestin, namun dalam masa yang sama mereka membuat tipu helah dengan membunuh umat Islam Palestin dengan alasan untuk mempertahankan diri.

Surah al-Baqarah juga dinamakan sebagai Fustat al-Quran dan Sinam al-Quran yang bermaksud puncak al-Quran kerana kepentingan dan kebesarannya yang memuatkan hukum-hukum yang tidak disebut dalam surah lain. Justeru, beberapa ulama telah menyatakan bahawa surah ini mengandungi seribu perintah, seribu larangan dan seribu pemberitahuan.

Surah al-Baqarah mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan seperti yang dinyatakan oleh beberapa hadis. Antaranya ialah hadis nabi saw yang bermaksud: ‘Pelajarilah surah al-Baqarah! kerana mengamalkannya membawa keberkatan, meninggalkannya akan mengundang penyesalan dan ahli-ahli sihir tidak berupaya menguasai pembaca surah ini ( atau mereka sendiri tidak mampu menghafalnya )’.

Imam Muslim pula telah meriwayatkan hadis nabi saw yang bermaksud: ‘Bacalah al-Quran! Kerana ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah dua penyeri iaitu surah al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-duanya akan datang pada Hari Kiamat dalam bentuk dua kelompok awan atau seperti dua kumpulan burung yang terbang berbaris (menaungi pembacanya ), kedua-duanya akan berhujah membela pembacanya. Bacalah surah al-Baqarah kerana membacanya membawa keberkatan, meninggalkannya akan mengundang penyesalan dan ahli-ahli sihir tidak berupaya menguasai pembaca surah ini.”
Imam al-Tirmidhi pula telah meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud : ‘Daripada Abu Hurairah r.a bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda : Janganlah kamu menjadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya setiap rumah yang dibacakan di dalamnya surah al- Baqarat tidak akan dimasuki syaitan’.

Ketiga-tiga hadis yang dinyatakan di atas adalah memadai untuk menunjukkan kelebihan dan keistimewaan surah al-Baqarah. Justeru, boleh dirumuskan berdasarkan ketiga-tiga hadis di atas bahawa kelebihan surah ini ialah seperti berikut :
· Membawa keberkatan
· Mengelakkan penyesalan
· Menghindarkan diri daripada kejahatan ahli sihir
· Mengamankan rumah daripada gangguan syaitan
· Menjadi pemberi syafaat kepada pembacanya pada Hari Kiamat kelak di samping berhujah mempertahankannya.
· Melindungi serta menaungi pembacanya daripada kepanasan padang Mahsyar.

Secara umumnya surah al-Baqarah adalah sama seperti surah-surah madaniyyah yang lain yangbanyak memfokuskan aspek syariat. Ia menangani persoalan undang-undang dan hukum-hakam yang diperlukan oleh umat Islam dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Surah ini mengandungi kebanyakan hukum-hukum syariat dalam perkara aqidah, ibadah, jual-beli, akhlak, urusan perkahwinan, talak dan lain-lain lagi.

Permulaan surah ini menyentuh tentang sifat-sifat orang beriman, orang kafir dan orang munafik. Ia menjelaskan hakikat keimanan dan hakikat kekufuran serta kemunafikan di samping membandingkan di antara orang yang bahagia dengan orang yang sengsara. Kemudian, disusuli dengan kisah Nabi Adam a.s dan peristiwa-peristiwa menarik yang berlaku sewaktu penciptaannya. Kisah ini antara lain menunjukkan penghormatan yang diberikan Allah s.w.t kepada manusia.

Seterusnya, surah ini membicarakan tentang Ahli Kitab (orang Yahudi dan Nasrani) khususnya Bani Israel iaitu nenek-moyang orang Yahudi yang berjiran dengan kaum muslimin di kota Madinah. Justeru, ia mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berwaspada dengan tipu daya dan kejahatan yang terpendam dalam diri mereka seperti hasad-dengki, memandang hina, pengkhianatan, pencabulan janji serta segala keburukan yang dilakukan oleh golongan perosak ini. Hal ini menjelaskan betapa dahsyat dan besarnya bahaya dan kemudharatan yang dibawa oleh mereka. Sebab itulah ayat-ayat yang memaparkan kisah mereka amat banyak sekali sehingga melebihi sepertiga surah al- Baqarah bermula daripada ayat 40 sehingga ayat 124.

Ayat-ayat yang selebihnya membincangkan aspek syariat, kerana pada waktu itu umat Islam di permulaan peringkat membentuk “negara Islam”. Jadi, mereka sangat memerlukan panduan rabbani ( ketuhanan ) dan syariat samawi( langit ) yang boleh menunjuk arah kehidupan baru mereka sama ada dari sudut ibadat mahupun mu‘amalat.

Oleh yang demikian, surah ini banyak menyentuh pelbagai hukum-hakam seperti perintah mengerjakan solat, menunaikan zakat, hukum puasa, haji dan umrah, hukum Qisas, hukum jihad dan perang di jalan Allah s.w.t, perkara-perkara yang halal dan haram, membelanjakan harta pada jalan Allah s.w.t, hukum arak dan judi, cara menjaga anak yatim, larangan memakan riba, hutang-piutang, hukum nafkah dan orang yang berhak menerimanya, hukum wasiat kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat, hukum sumpah, kewajipan menyampaikan amanat, hukum sihir, hukum merosak masjid, hukum mengubah kitab-kitab Allah, hal-ehwal keluarga tentang perkahwinan, perceraian seperti talak, khulu‘ dan ila’, hukum penyusuan anak, ‘iddah, hukum melamar, mahar, pengharaman mengahwini wanita musyrik dan sebaliknya serta larangan ’menggauli’ isteri ketika haid.

Sayyid Qutb dalam kitab tafsirnya ‘Fi Zilal al-Quran’ telah menjelaskan bahawa surah ini mengandungi pelbagai tajuk, tetapi kesemuanya dihimpunkan oleh satu paksi yang mempunyai dua cabang garisan, yang saling berkait-rapat. Dari satu sudut, surah ini memaparkan pendirian Bani Israel ( orang Yahudi ) terhadap dakwah Islam di Madinah terutamanya penentangan mereka terhadap Rasulullah s.a.w dan “jama‘ah Islam” yang sedang berkembang serta pembelotan mereka menerusi usaha-usaha menjalinkan hubungan intim dengan orang munafik dan musyrikin. Dari sudut yang lain pula, surah ini memaparkan pendirian “jama‘ah islam” pada peringkat permulaan dan persediaan untuk memikul amanah dakwah serta khilafah di atas muka bumi.

Surah ini diakhiri dengan seruan kepada orang beriman supaya bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t. Di samping itu, ia mengajak orang beriman agar memohon bantuan dan kemenangan daripada Allah s.w.t serta berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat .


Oleh: Ustaz Shauqi





20 Jul 2016

Syaitan Itu Kreatif




Pernah satu ketika saya diminta belajar daripada syaitan oleh seorang yang ulama yang dihormati. Saya terkejut. Benarkah ini?

“Belajar tentang kreativiti dan inovasi syaitan menyesatkan manusia,” jelasnya.

Saya tersenyum. Ada kebenarannya. Syaitan begitu kreatif mencipta dan mempromosi kejahatan. Ada-ada sahaja cara dan jalannya. Tidak pernah kaku, jarang yang beku. Sentiasa ligat dan cepat. Sentiasa ada pembaharuan. Malangnya, acapkali orang yang memperjuangkan kebenaran… tidak se’dinamik’ dia. Tumpul kreativiti dan beku inovasi. Asyik-asyik yang semacam itu juga.

Begitulah. Semoga kisah dialog di bawah boleh dijadikan cabaran untuk minda bagi terus memperjuangkan kebenaran. Kita mesti lebih kreatif daripada syaitan!

KISAH TIDAK LAMA DULU

Bertemu dengannya dahulu merupakan satu penghormatan. Apa tidaknya, dia sudah berubah – ke arah kebaikan.
“Mengapa tiba-tiba?” tanya saya.
“Hidayah bang…” jawabnya sidia pendek.
“Bagaimana dengan segalanya?” Risau saya dengan profesyennya.
“Allah ada. Allah akan membantu segalanya.”
“Syukur,” kata saya perlahan.

Setahun kemudian.
“Lihat ini..” kata seorang sahabat sambil menghulurkan sekeping gambar.
“Betul ke ni?”
“Apa kau ingat ini ‘super-impose’?”
Saya terdiam. Kaku.
“Mana pergi tudungnya?”
“Itu..” tuding jari saya kepada tudung merah di atas kepalanya.
“Itu tudung?”
“Yalah, bertudung tapi tidak menutup aurat.”
“Bertutup tapi terbuka, tahupun…” katanya seakan menyindir.

Bila kenalan itu pergi, saya tatap sekali lagi gambar yang ditinggalkan. Kesihan saya melihat wajah sidia yang terbaru. Terasa, betapa kekadang hidayah datang dan pergi berselang-seli. Masih terbayang tangisannya tempoh hari, ketika menceritakan bagaimana terbuka pintu hatinya menginsafi dosa-dosa lampau.
“Bang saya insaf bang…“
Lantas, tanpa sesiapa yang memaksa… dia mengenakan tudungnya. Lengkap, labuh, menutup aurat berpandukan syariat. Tidak jarang, tidak ketat, tidak mengundang fitnah bertandang. Sempurna. Sejuk, mata memandang. Dingin kalbu merasakan. Betapa hidayah itu singgah tanpa mengira siapa, di mana dan bila? Dulu sidia terpilih, sekarang kembali tersisih?

Kini tiba-tiba segalanya semacam ‘ditarik’ kembali. Tudungnya makin singkat. Dari mulanya di bawah paras dada, naik ke paras leher dan akhirnya kembali membuka leher, dagu dan… Paling malang, tingkah yang dulunya mula terjaga, kini lepas bebas kembali. Kata sesetengah yang setuju, biarlah… itu lambang Islam dinamik. Bertudung tapi masih boleh meliuk-lentuk, terkinja-kinja dan bersuara manja. Yang penting hati… Asal hati baik, tidak mengapa. Yang penting isi, kulit tak apa. Kalau begitu kenapa dulu perlu bertukar kulit? Insaf dan taubat sahajalah, tak payah bertudung litup seperti kelmarin!

Saya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ulama satu ketika dahulu:
“Syaitan terlalu kreatif…”
Kreatif? Bisik hati saya.
“Kekadang syaitan tidak menghasut manusia meninggalkan daerah putih menuju daerah hitam… Tetapi dia mengujudkan lebih banyak daerah ‘grey’ – warna keperang-perangan, yang hakikatnya bukan lagi kebenaran.”
Terfikir saya, inilah jerangkap kebatilan yang dianggap kebenaran. Topeng baik bagi melempiaskan kejahatan yang dulunya terpendam. Ya, syaitan terlalu kreatif. Ada-ada sahaja ‘was-wasan’ baru yang ditiupkan ke jiwa insan agar meminggirkan jalan Tuhan.

Hasilnya… sekarang kita dapat lihat bagaimana ada gadis bertudung di kalangan Mat Rempit. Ada wanita bertudung yang melalak dengan gaya bebas terbabas dari nilai akhlak dan kesopanan. Atau peragawati bertudung dengan langkah ‘catwalk’ dengan dada, ‘make-up’ galak sambil yang mengundang pesona dan ‘aura’ dosa. Dan lebih ‘daring’ lagi kita dapat lihat tarian ala-ala gelek oleh gadis bertudung… Atau sekarang pun sudah ada bunga-bunga munculnya Rockers wanita bertudung? Ah, apa ni? Daerah ‘grey’? Atau segalanya sudah hitam, kelam, kusam.

Teringat juga saya pesan daripada seorang yang saya sangat hormati kerana ilmu dan kewarakannya:
“Tudung wanita itu ada empat… tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati.”
Apa ertinya?
“Tudung pada wajah… jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi. Tudung pada mata… jangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang. Tudung pada suara… jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersona. Tudung pada hati… mengingati Allah… dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar…”

“Jangan terlalu ekstrem,” tegur seorang kawan bila saya lontarkan pandangan betapa wanita bertudung masakini sudah semakin hilang ‘penghormatannya’ (baca betul-betul… bukan ‘kehormatan’). Bagi saya kuantiti orang bertudung meningkat tapi kualitinya merudum.”
“Bukan begitu. Menutup aurat ada tujuannya… tercapaikah tujuan dengan penutupannya. Jika tidak, hakikatnya mereka masih terdedah,” balas saya perlahan.

“Aku tak faham. Maksud kau?”
“Seperti juga solat. Tujuannya mengingati Allah, kesannya pasti dapat mencegah kejahatan dan kemungkaran. Begitu maksud Al Quran apabila menjelaskan tujuan solat didirikan.”
“Lantas?”
“Jika solat tidak mencapai tujuan pasti ada sesuatu yang menyimpang. Samalah seperti hukum menutup aurat, tujuannya menjaga akhlak dan kehormatan. Maknanya kalau sudah menutup aurat, tetapi masih tercalar akhlak dan kehormatan… tentu ada yang salah dalam penutupannya.”

“Jangan ektreem sangat. Tutup aurat bukan ertinya kita menutup keindahan. Tak salah berhias, menarik, cantik.”
“Keindahan mesti didasari oleh kebenaran. Ingat, setiap keindahan tidak semestinya satu kebenaran…”
“Jadi kebenaran menolak keindahan?”
“Keindahan itu satu kebenaran!” balas saya cepat.
Ya, atas alasan bertudung tidak menafikan keindahan pelbagai ‘aksesori’ ditokok-tambah menjadikan tudung lebih dimertabatkan sebagai ‘fesyen’ orang ‘baik-baik’ dan orang ‘cantik-cantik’ berbanding syariat wanita yang beriman!

“Hormati, itukan era transisi” kata seorang sahabat seakan memujuk saya.
“Transisi? Apa maksud mu?”
“Sebelum lengkap bertudung… err… maksudku menutup aurat, biarlah mereka berskaf dulu. Tu pun dah baik daripada sebelumnya yang tak menutup kepala langsung.”
“Transisi, ke arah mana? Aku tidak bercakap tentang orang yang tak bertudung langsung. Tetapi aku bercakap tentang individu yang dulu tak bertudung, lepas tu bertudung, kemudian berskaf sahaja… ini transisi ke arah mana? Nak bertudung semula atau nak tak bertudung semula?”
Dia diam. Bungkam. Marah sayapun kerana sayang.

“Langkah pengalihan mesti diiringi oleh pengisian. Jangan tutup kepala sahaja, tetapi isi kepala yang ditutup itu dengan ilmu. Mereka yang tidak menghadiri majlis lebih 40 hari, hati menjadi gelap. Kemudian cari kawan-kawan yang sehaluan. Penghayatan agama kita dipengaruhi oleh kawan-kawan kita…”
“Kau kata mereka tidak ada ilmu?’”

“Bukan begitu. Menuntut ilmu mesti berterusan. When you stop learning, you stop leading – maksudnya, jika kita berhenti menuntut ilmu kita akan berhenti memimpin. Sekurang-kurangnya memimpin diri sendiri,” kata saya.
“Sekali lagi. Kau meragui ilmu mereka?”
“Ada sebab untuk aku meraguinya? Maaf, aku pun bukan baik. Tetapi kita tidak boleh berdiam melihat kejahilan berkata-kata.”

“Maksud kau?”

“Ada yang berkata, dia masih menutup aurat kerana dia memakai rambut palsu! Bayangkan apa yang orang begini faham tentang hukum menutup aurat? Pernahkah dia mendengar tafsir Surah An Nur? Pernah dia belajar tafsiran hadis tentang aurat wanita Islam? Peliknya, suara semacam ini semakin nyaring sekarang.”

Aku diam. Tafakur. Semua itu imiginasi untuk tulisan ini semata. Namun itu bukan ilusi. Aku tidak pernah punya kesempatan untuk menuturkannya. Lalu Kemudi Hati ini menjadi wadahku berbicara. Untuk diri, Artikel Agama anak perempuanku dan anda wanita-wanita Islam semua. Antara syaitan bisu dan syaitan yang licik berkata-kata, kekadang kita jadi semakin bungkam… menjadi ‘malaikat’ yang diam? Oh, tidak… Rasul berpesan: katakan yang benar walaupun pahit!

.....
sumber: http://genta-rasa.com ataupun nama penulis ini Pahrol Mohd Joui
(sy mengambil artikel ini dari blog itu)